Gambar Hiasan
Sebuah kapal tentera laut Amerika Syarikat (AS), USS Kidd, yang membantu
sejak awal usaha pencarian penerbangan Malaysia Airlines MH370, akan
menarik diri daripada pasukan pencarian antarabangsa itu, lapor agensi
berita antarabangsa AFP.
Laporan memetik kenyataan pegawai Pentagon itu mengatakan keputusan itu
dicapai kerana kawasan pencarian kini begitu luas dan adalah lebih baik
pesawat pengawasan digunakan untuk tujuan itu.
Tentera laut AS bercadang menggunakan pesawat P-8 Poseidon dan P-3 Orion
bagi membantu Malaysia mencari pesawat Boeing 777-200ER, yang hilang
dengan 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac lalu selepas terputus
hubungan dengan Pusat Kawalan Udara Subang pada jam 2.40 pagi.
Hari ini masuk hari ke-11 operasi mencari dan menyelamat dilakukan untuk pesawat tersebut.
USS Kidd menyertai pencarian MH307 minggu lalu dan mengalihkan tumpuan ke barat Laut Andaman atas permintaan kerajaan Malaysia.
"Dengan kawasan carian yang diperluaskan ke selatan Lautan Hindi,
pesawat rondaan jarak jauh seperti P-8A Poseidon dan P-3C Orion adalah
lebih sesuai untuk usaha mencari dan menyelamat," kata laporan tersebut.
Malaysia sudah secara rasmi meminta bantuan 14 negara dalam misi mencari dan menyelamat, termasuk maklumat radar dan satelit.
Sehingga kini, 26 negara terlibat dalam operasi tersebut.
Via - MalaysiaInsider
Note: only a member of this blog may post a comment.