JASIN: Musim panas yang melanda negara sejak Januari lepas dijangka
berakhir pada pertengahan bulan ini berikutan perubahan Monsun Timur
Laut ke Monsun Barat Daya.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar
Mohamad Diah berkata sehubungan dengan itu hujan yang berterusan juga
dijangka mula turun secara kerap dan bukan lagi hujan sekejap-sekejap
yang dialami negara pada masa ini.
"Namun dalam tempoh tersebut (sebelum hujan berterusan turun) kami akan
teruskan dengan pembenihan awan di beberapa lokasi yang dikenal pasti
mempunyai awan 'towering cumulus'," katanya kepada pemberita di Merlimau
di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani
Dokumen Kolaborasi antara Politeknik Merlimau dan Lembaga Pembangunan
Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Melaka di politeknik itu.
Pengarah Politeknik Merlimau Zolkarnain Jobshi dan Pengarah CIDB Melaka
Norlida Nabil menandatangani dokumen itu yang bertujuan meningkatkan
usaha sama dalam bidang kejuruteraan merangkumi pertukaran informasi dan
pengendalian kursus keselamatan bagi pelajar serta pekerja binaan.
Dr Abu Bakar berkata pembentukan awan 'towering cumulus' yang mempunyai
kandungan wap air melebihi 80 peratus merupakan faktor utama dalam
memastikan kejayaan operasi itu.
"Operasi ini dapat mempercepatkan proses penurunan hujan apabila kita
semburkan air garam pada awan itu bagi menambah isi padu kandungan air
dan apabila kandungan air didalamnya bertambah, awan akan menjadi berat
dan akan menurunkan hujan," katanya.
Beliau berkata sejak tahun 1977 sebanyak 284 operasi pembenihan awan
telah dilaksanakan dan kira-kira 80 peratus daripada jumlah itu berjaya
menghasilkan hujan.
Note: only a member of this blog may post a comment.