Our Feeds

FIND US ON FACEBOOK

Saturday, 15 March 2014

Melly Danish

[MH370] Pesawat MH370 hantar isyarat ke satelit





Imam Kagat dari Kor Agama Angkatan Tentera, Mohd. Faizal Arif Abdullah mengetuai solat hajat selepas menunaikan solat Maghrib pada operasi pencarian dan menyelamat pesawat MH 370 yang dilaporkan hilang, di perairan Laut China Selatan, semalam. Kapal milik TLDM, KD Lekiu yang mempunyai 149 anak kapal, 15 krew helikopter penyelamat Super Lynx memulakan operasi sejak Ahad lalu. - UTUSAN/Irwan Majid
 
WASHINGTON 14 Mac - Pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu, dilapor menghantar isyarat ‘ping’ kepada sebuah satelit selama empat jam, sebaik-baik kapal terbang berkenaan hilang daripada radar.
Seorang pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali berkata, tindakan itu menunjukkan bahawa pesawat berkenaan kemungkinan masih terbang sejauh beratus-ratus kilometer selepas ia hilang daripada radar.
Jelas beliau, pesawat Boeing 777-200 itu tidak menghantar data ke satelit terbabit, sebaliknya hanya memancarkan isyarat untuk berhubung.
Syarikat pembuatan pesawat, Boeing Co menawarkan perkhidmatan satelit untuk mengumpul maklumat operasi penerbangan pesawat dan menghantar data tersebut ke pangkalan utama pesawat itu.
Perkhidmatan tersebut diwujudkan bagi menyediakan maklumat untuk proses pembaikan atau kerja penyenggaraan sebelum mana-mana pesawat buatan Boeing mendarat.
Walaupun difahamkan syarikat Malaysia Airlines tidak melanggan perkhidmatan itu, namun pesawat masih mempunyai keupayaan untuk berhubung dengan satelit dan mengeluarkan isyarat secara automatik.
“Fungsi isyarat itu seperti telefon bimbit yang dipadamkan, tetapi masih mampu memberi mesej seperti ‘Saya di sini’ kepada syarikat rangkaian komunikasi.
“Berdasarkan fungsi itu, syarikat telekomunikasi masih boleh mengesan kedudukan telefon yang dipadamkan atau tidak membuat panggilan," jelas pegawai tersebut.
Bagaimanapun Boeing tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara berkenaan.
Sementara itu, laman web akhbar Wall Street Journal melaporkan, sebuah satelit milik syarikat telekomunikasi Britain, Inmarsat menerima isyarat tersebut selama lima jam selepas pesawat MH370 hilang.
Perkara tersebut disahkan oleh Inmarsat namun tidak pula menyatakan bila isyarat terbabit diterima, lapor stesen televisyen BBC.
Dalam pada itu, pegawai tersebut berkata, fungsi mesej telefon bimbit berbeza dengan isyarat yang dihantar pesawat untuk dikesan oleh radar.
Katanya, jika pesawat meletup semasa dalam penerbangan atau mengalami masalah kegagalan teknikal, semua isyarat termasuk ke satelit akan terhenti pada masa kejadian. - AGENSI

SUMBER : http://www.utusan.com.my/
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Subscribe to this Blog via Email :
Previous
Next Post »

Note: only a member of this blog may post a comment.