SHAH ALAM: Kerajaan Malaysia mengesahkan orang yang mengawal pesawat
Malaysia Airlines MH370 menghantar mesej terakhir kepada pusat kawalan
trafik udara selepas sistem komunikasi pertama dipadam, menambah kepada
kemungkinan pesawat yang membawa 239 penumpang itu dirampas, lapor The Guardian.
Pendedahan terbaru ini mencadangkan orang yang menghantar mesej “All
right, good night” kepada pusat kawalan udara Kuala Lumpur sebelum
Boeing-777 hilang daripada radar pada 1.22 pagi dan dialihkan dari
destinasinya ke Beijing turut sedar Sistem Laporan dan Komunikasi
Pesawat (ACARS) dipadamkan secara manual, lapor akhbar Britian itu lagi.
Sebaik sahaja pautan ACARS hilang, transponder pesawat ditutup pada
1.22 pagi pada 8 Mac, menyebabkan ia hilang daripada radar komersial dan
berpatah balik di pantai Kelantan seperti yang disahkan oleh radar
tentera, pesawat berpatah balik ke semenanjung menuju Selat Melaka.
Ini menimbulkan kemungkinan teori pesawat MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing itu mungkin dirampas.
Putrajaya berkata sebelum ini mereka kini memberikan tumpuan untuk
menyiasat penumpang MH370 termasuk dua juruterbang, 10 anak kapal dan
227 penumpang pesawat yang hilang itu.
Semalam, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
mengesahkan polis menggeledah rumah juruterbang Kapten Zaharie Ahmad
Shah dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid di Shah Alam, Selangor.
Polis mengklasifikasikan kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines
sebagai tindakan keganasan yang juga bermaksud rampasan dan sabotaj,
kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Note: only a member of this blog may post a comment.