Our Feeds

FIND US ON FACEBOOK

Sunday 19 April 2015

Unknown

Punca Sebenar Tun Dr Mahathir Lucutkan Kekebalan Raja-Raja Melayu

Share
Kita sering mendengarkan kisah konon Tun Dr Mahathir ialah melayu yang menjadi pengkhianat raja-raja mereka tatkala mereka mahu mempertahankan pemimpin mereka yang membuat onar ini?
Alasan mereka ialah Tun Dr Mahathir menjadi dalang utama kes perlucutuan kekebalan raja-raja Melayu. Tetapi tahukah anda peristiwa apakah yang berlaku di sebalik kes tersebut?
Kekebalan Raja-Raja Melayu
Pernah dengar kes Prebet Adam yang mengamuk? Kisah ini berlaku lama dah. Adik kepada prebet Adam merupakan seorang caddy diraja. Dan suatu hari, ketika beliau menemani seorang sultan salah sebuah negeri di Malaysia bermain golf, adiknya telah dipukul sehingga mati oleh sultan tersebut kerana mengetawakan bola yang dipukul oleh sultan tersebut tidak masuk ke dalam lubang.
Sejurus selepas kematian adik Prebet Adam, maka mengamuklah Prebet Adam di Chow Kit sehingga membunuh beberapa orang.
Kes seterusnya ialah Peristiwa Gomez. Seorang jurulatih hoki daripada pasukan hoki Maktab Sultan Abu Bakar, meluahkan kekesalan kerana dipanggil untuk menarik diri daripada perlawanan separuh akhir oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Johor. Sultan Iskandar tertarik lalu menitah Gomez untuk menghadap baginda di Istana Bukit Serene, tetapi kemudian menyelar dan menyerangnya.
Peristiwa ini telah mendatangkan kemarahan rakyat sehingga memaksa parlimen melakukan sesuatu. Selepas disiasat dan dibincangkan, peristiwa yang membawa kepada insiden-insiden di atas kerana kekebalan raja-raja Melayu pada waktu itu daripada undang-undang.
Nak tak nak, selaku perdana Menteri, Tun Dr M terpaksa melakukan perubahan. Walaupun dengan berat hati, tetapi mahu mengelakkan perkara ini daripada menjadi nanah dalam negara, maka rang undang-undang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, masing-masing pada 19 dan 20 Januari 1993.
Rang undang-undang yang berusul melucutkan kekebalan ini diluluskan oleh enam daripada sembilan raja namun menghadapi tentangan hebat daripada tiga raja yang lain, termasuk Sultan Iskandar sendiri. Sultan Iskandar mengambil inisiatif untuk meraih sokongan diraja untuk menghalang pelaksanaan usul tersebut.
Rang undang-undang yang berusul melucutkan segala kekebalan dari para raja dan ahli kerabat diraja, menjadikan mereka boleh didakwa mengikut undang-undang bila-bila masa timbulnya salah laku jenayah yang terbukti.
Kita nampak di sini, bukan Tun sahaja yang bersetuju dengan hal ini, bahkan terdapat 6 raja-raja Melayu yang turut sekepala dengan Tun. Tun bukanlah menentang sistem monarki itu, tetapi untuk mempertahankan sistem monarki tersebut daripada runtuh.
Kalau sikap ini berterusan gara-gara kekebalan itu, kamu rasa orang Melayu akan mampu bertahan? Bukan tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana raja digulingkan. Pernah dengar Sultan Mahmud Mangkat Dijulang?
Memandangkan raja-raja Melayu ialah benteng terakhir umat Melayu, maka Tun terpaksa berbuat sesuatu untuk melindungi senjata yang akan mempertahankan Hak Agama Islam dan Bumiputera ini.
Saya harap selepas ini tiada lagi sebarang tuduhan mengatakan bahawa Tun Dr Mahathir adalah pengkhianat bangsa.
Kekebalan Raja-Raja Melayu
Oleh: TAN SRI DR. NORDIN KARDI, Penyandang Kursi Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
PADA minggu lepas, saya dan kawan-kawan melepak di Balai Seni Lukis Negara. Kawan-kawan itu termasuk Dato’ Seri Helmi, Dato’ Seri Anwar Zaini, Dato’ Kamarudin, General Dato’ Yunus Long, Tan Sri Kamal Salleh, Dr. Hasan Mad, Roslan dan Faridah, dari USAHANITA. Selain bertanya khabar kami berbual mengenai banyak perkara mengenai Melayu.
Sultan dan Raja-Raja Melayu menghadiri Mesyuarat ke-220 Majlis Raja-Raja di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada tahun 2011.
Sultan dan Raja-Raja Melayu menghadiri Mesyuarat ke-220 Majlis Raja-Raja di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada tahun 2011.
Kecuali saya, kawan-kawan saya itu rupanya sangat cergas bergerak dalam pelbagai badan bukan kerajaan mengikut kecenderungan dan latar belakang pendidikan masing-masing. Dalam perbincangan itu seperti ada persetujuan antara kami bahawa ada beberapa tunggak yang jika salah satu daripadanya diusik, maka keseluruhan Melayu itu terusik.
Tunggak-tunggak itu adalah bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan agama Islam, hak Istimewa orang Melayu (termasuk tanah simpanan Melayu) di dalam Perlembagaan. Antara beberapa perkara yang menarik perhatian saya adalah mengenai kekebalan Raja-Raja Melayu dalam konteks undang-undang.
Pada 1993, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda bagi membolehkan prosiding undang-undang diambil terhadap mana-mana Raja Melayu di dalam Mahkamah Khas. Sebelum pindaan itu baginda semua adalah kebal daripada apa-apa prosiding mahkamah.
Perbualan kami bertukar serius apabila disentuh mengenai wasiat Raja-Raja Melayu semasa menandatangani watikah kemerdekaan pada tahun 1957 seperti yang dititahkan semula oleh Raja Muda Perak, Dr. Raja Dr. Nazrin Shah di dalam suatu majlis dan disiarkan di Utusan Malaysia pada 23 Ogos 2009.
Wasiat itu dicatat begini: ‘Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia). Ke-dua: Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
Ke-tiga: Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara. Ke-empat: Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini. Ke-lima: Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan. Ke-enam: Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Ke-tujuh: Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).
Disebutkan juga bahawa pada tarikh 5 Ogos 1957, Duli-Duli Yang Maha Mulia sembilan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Pemerintah dari empat ‘Negeri Melayu Bersekutu’ dan lima ‘Negeri Melayu Tidak Bersekutu’ telah memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memahat Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut.
Jika demikian keadaannya, Raja-Raja Melayu yang sebelumnya memerintah secara kuasa mutlak telah berkenan menyerahkan kuasa baginda-baginda itu kepada apa yang dipanggil sebagai “Perlembagaan Persekutuan” yang boleh ditambah atau dipinda melalui kuasa yang dipilih rakyat di rumah yang mulia dinamakan Parlimen.
Disebutkan juga bahawa beberapa fasal dalam perlembagaan hanya boleh dipinda oleh Parlimen jika mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu. Fasal-fasal tersebut adalah perkara 3 (1), (2), (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12, Perkara 38 (5); Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181 (1).
Dalam hal inilah, wajar diteliti semula sama ada parlimen boleh meluluskan penubuhan Mahkamah Khas bagi membolehkan sesuatu prosiding diambil terhadap Raja-Raja Melayu tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu.
Jika jawapannya boleh, maka fasal tersebut di dalam perlembagaan adalah halal dan jika tidak maka fasal berkenaan adalah sebaliknya. Selain dari melihat aspek teknikal yang menyentuh kekebalan Raja-Raja Melayu itu elok juga dilihat apakah doktrin yang boleh diguna pakai sama ada untuk mempertahankan kekebalan Raja-Raja Melayu atau yang sebaliknya.
Jika kuasa Parlimen menambah atau meminda perlembagaan itu asalnya diberikan oleh Raja-Raja Melayu, adakah wajar parlimen yang diberi kuasa itu kemudiannya membuat peraturan mengatasi dan melebihi kehendak kuasa yang memberi? Demikianlah dalam kes Bropho melawan State of Western Australia (1972), Ketua Hakim Mason dan Hakim-hakim Deane, Dawson, Toohey, Gaudron and McHugh mengeluarkan pernyataan bersama yang menentang sebarang statut yang akan mengikat ‘Crown’ (sebagai ingatan, Ketua Negara bagi Australia masih lagi Raja Inggeris).
Dalam konteks ‘English Common Law’ dikatakan bahawa oleh sebab sumber undang-undang itu datangnya daripada kedaulatan raja, maka raja tidak boleh dipertanggungjawabkan di mahkamah yang dicipta dengan kuasanya. Jika mahkamah atau undang-undang itu hendak diadakan juga maka raja hendaklah memberi persetujuan atau ‘consent’.
Di Amerika Syarikat (AS) suatu ketika dahulu kekebalan turut diberi kepada negara daripada sebarang tindakan undang-undang dengan menggunakan doktrin yang sama. Kes Gibbons melawan United States (1986) Mahkamah Agung memutuskan bahawa Kerajaan Pusat tidak boleh disaman tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan Kongres.
Hal ini ditegaskan lagi di AS dalam kes Alden v. Maine (1999). Di England dikatakan walaupun Crown Proceedings Act 1947 seperti memberi kelonggaran dalam kes ‘tort’ dan kontrak tetapi Raja tetap kebal daripada prosiding jenayah.
Kekebalan Raja yang menjadi ketua sesebuah negara bukan sahaja wujud dalam negara-negara berkenaan tetapi juga pada peringkat antarabangsa. Dalam hal ini, duta-duta, yang mewakili negara atau ketua negara juga mendapat perlindungan daripada kekebalan ini. Daripada prinsip ‘customary international law’ negara itu kebal daripada sebarang prosiding di negara lain.
AS sendiri mengiktiraf konsep ini di bawah akta Foreign Sovereign Immunities (1976). Apa yang kelihatan daripada contoh-contoh ini adalah, secara konvensyennya, sumber kuasa sesuatu undang-undang itu diberi kekebalan. Doktrin memberi kekebalan ini nampaknya dihormati di banyak negara termasuk Singapura yang memberi kekebalan kepada Presidennya. Di Itali pula, percubaan mempertanggungjawabkan Presiden ke mahkamah adalah suatu jenayah.
Di Malaysia pada keseluruhannya, Raja-Raja Melayu masih kelihatan kebal daripada prosiding undang-undang tetapi penubuhan Mahkamah Khas seperti ‘precedence’ kepada sentuhan kepada kekebalan itu.
Rakan saya Azam menghujah kepada saya bahawa Mahkamah Khas itu adalah untuk kes-kes peribadi Raja. Saya pula bertanya bagaimana hendak memisahkan yang peribadi dengan yang bukan peribadi seperti yang saya pernah alami di mahkamah dalam menanggung beban ‘vicarious liability’? Adakah terdapat konsep ‘mutlak’ separuh-separuh? Ada pula yang menjawab ‘apa salahnya’.
Seperti persetujuan rakan-rakan yangmelepak di Balai Seni Lukis Negara itu, kami sebutkan sekali lagi bahawa mengusik mana-mana tunggak yang telah dinyatakan bererti mengusik keseluruhan yang berkaitan dengan Melayu.

Subscribe to this Blog via Email :
Previous
Next Post »

Note: only a member of this blog may post a comment.