Our Feeds

FIND US ON FACEBOOK

Saturday, 18 April 2015

Unknown

HARI JUMAAT DIHARAMKAN BERJUAL BELI?





HARI JUMAAT DIHARAMKAN BERJUAL BELI?-Kebanyakan negeri di Malaysia menetapkan bahawa hari Isnin hingga Jumaat adalah hari bekerja manakala Sabtu dan Ahad adalah hari cuti. Bagi umat Islam, menunaikan solat Jumaat adalah wajib dan sebab itulah waktu rehat bagi sebahagian pekerja dipanjangkan pada hari tersebut berbanding hari-hari yang lain bagi memberi ruang kepada kaum adam untuk menunaikan solat Jumaat dan sebagai waktu untuk makan tengahari. Yang menjadi persoalan di sini, bagaimanakah orang yang berniaga mengambil waktu untuk solat Jumaat sedangkan mereka tidak ada waktu rehat memandangkan pelanggan yang sentiasa datang ke kedai mereka? Apakah hukum bagi mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat sebab berjual beli? Jom kita singkap dan ungkap satu persatu hukum berjual beli di waktu solat Jumaat.


HARI JUMAAT DIHARAMKAN BERJUAL BELI?



Persoalan jual beli yang terus berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas azan pada hari Jumaat perlu dipandang serius bagi mengelakkan ianya berterusan dek kerana kejahilan sesetengah umat Islam. Yang sangat kurang menyenangkan, apabila melihat peniaga-peniaga ini berkhemah di luar masjid, mengambil untung atas perkumpulan umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat, sedang mereka menjadi penyebab kepada dosa.

PENGHARAMAN JUAL BELI DI HARI JUMAAT?

Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki yang sudah aqil baligh sahaja. Justeru, setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus. Ia tidak termasuk di dalam perbincangan para ulama dan bukan pula fokus dalam artikel kali ini. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam kerana sudah jelas bahawa wanita tidak wajib tunaikan solat Jumaat.

Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat Jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.

Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah al-Jumaah ayat 9 :



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ



Ertinya : “Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”.

AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?

Walaupun telah ijma’ di kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua.

Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Rasulullah S.A.W, Saidina Abu Bakar as-Siddiq R.A dan Saidina Umar Al-Khattab R.A hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah.
Di zaman pemerintahan khalifah Uthman R.A, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).



Namun, hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Uthman, para ulama’ sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana ketika turunnya ayat Al-Quran, pada masa hayat baginda Nabi S.A.W.

Namun demikian, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram’, cuma terdapat sebahagian besar mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut. Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.

Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut :

اتفق العلماء على تحريم البيع بعد النداء الثاني

Ertinya : Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)

HARI JUMAAT DIHARAMKAN BERJUAL BELI?



BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?

Walaupun berjual beli di waktu itu adalah haram yang bererti berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah aqad jual beli mereka terbatal?

Jika kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu bahagian, manakala sah batal jual beli itu pula adalah satu bahagian yang lain. Jika aqad tidak sah, bererti pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku, bererti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh syubhah dan bermasalah.

Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dalam menganggapi kesahihan atau terbatalnya aqad. Para ulama’ terbahagi kepada dua jenis pendapat :

Pertama : Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.

Kedua : Aqad batal dan berdosa. Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti ulama’ mazhab Maliki.

Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ianya melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahan itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan aqad.

Walaubagaimanapun, umat Islam yang wajib menunaikan solat Jumaat perlu tahu akan hukum-hukum yang dinyatakan di atas supaya kita terselamat daripada melakukan dosa akibat dari kerakusan nafsu berjual beli semasa solat Jumaat. Semoga apa yang penulis kongsikan ini dapat menjadi amalan kepada kita untuk menghindarkan diri daripada berjual beli ketika waktu Jumaat. Semoga bermanfaat.


(Dibaca Sebanyak 194 kali, 1 baca hari ini)

Subscribe to this Blog via Email :
Previous
Next Post »

Note: only a member of this blog may post a comment.