Our Feeds

FIND US ON FACEBOOK

Wednesday 22 June 2016

Unknown

Mazhab As-Syafie: Hukum berjimak ketika berpuasa di bulan Ramadhan serta syarat-syarat Kafarah



Orang-orang yang berbuka puasa atau membatalkan puasanya dengan sengaja –tanpa ada keuzuran Syara’- ada dua jenis;

A. Membatalkan puasa dengan bersetubuh
Bagi kes ini, ijma’ para ulama’ menyatakan bahawa orang yang melakukannnya wajib membayar kaffarah di samping wajib mengqadha’ puasanya. Kaffarah tersebut hendaklah mengikut urutan di bawah;

Membebaskan seorang hamba mukmin sama ada lelaki atau wanita
Jika tidak didapati atau tidak mampu, hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut (yakni tanpa selang),
Jika tidak mampu, hendaklah ia memberi makan 60 orang miskin dengan setiap orang satu cupak makanan asasi penduduk setempat. Bagi penduduk di Malaysia ini, makanan asasinya ialah beras.
(Perihal tentang makna kaffarah ini dan dalilnya telahpun kita terangkan diawal tadi (bersama dengan penerangan tentang Qadha’ dan Fidyah). Oleh itu tidak perlu kita ulangi lagi di sini)

Cuma di bawah ini sebagai huraian lebih lengkap tentang hukum kaffarah ini, kita kemukakan perincian berikut;

a) Termasuk dalam erti persetubuhan yang mewajibkan kaffarah (apabila cukup syarat-syaratnya ialah; mensetubuhi faraj, dubur (iaitu meliwat), persetubuhan melalui zina atau syubhah atau dalam nikah yang fasid, sama ada mensetubuhi lelaki atau perempuan, manusia atau binatang. Persetubuhan-persetubuhan ini memberi kesan yang sama kepada puasa jika cukup

b) Syarat-syaratnya iaitu; (1) Mewajibkan qadha’ puasa, dan (2) Mewajibkan kaffarah.

Syarat yang mewajibkan kaffarah itu ada lima, iaitu;
Hendaklah orang yang melakukan persetubuhan mengingati bahawa ia sedang berpuasa. Jika ia terlupa –semasa sedang melakukan persetubuhan itu- bahawa ia sedang berpuasa, tidaklah batal puasanya dan tidak wajib atasnya kaffarah.
Ia mengetahui bahawa perbuatan tersebut adalah haram bagi orang yang sedang berpuasa.
Persetubuhan itu bukan berlaku kerana paksaaan
Puasa yang dibatalkan dengan persetubuhan itu adalah puasa Ramadhan. Jika puasa yang dibatalkan itu adalah puasa qadha’, puasa nazar atau puasa kaffarah, maka tidaklah wajib kaffarah kerana hadis Nabi s.a.w. hanya menggkhususkan puasa Ramadhan dengan kaffarah tersebut, tidak puasa-puasa yang lain.
Ia bukan orang yang mendapat rukhsah kerana musafir. Maka seorang musafir yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh, tidak wajib kaffarah ke atasnya kerana Syara’ memberi keharusan kepada musafir untuk berbuka.
c) Menurut mazhab Syafi’ie, kaffarah hanya dikenakan ke atas lelaki sahaja tidak ke atas perempuan. Jadi, apabila suami dan isteri bersetubuh di siang hari di bulan Ramadhan, yang diwajibkan menunaikan kaffarah ialah si suami sahaja.

d) Apabila berbilang hari berlaku persetubuhan maka berbilang jugalah kaffarah yang mesti ditunaikan. Contohnya, jika persetubuhan belaku pada empat hari, maka kaffarah yang mesti ditunaikan ialah empat juga.

e) Adapun jika persetubuhan berlaku berulang-kali pada hari yang sama, maka kaffarah yang dikira hanya sekali sahaja.[1]

f) Bagaimana jika seseorang itu membatalkan puasa dengan perkara lain selain persetubuhan (seperti dengan makan), kemudian setelah puasanya batal barulah ia bersetubuh dengan isterinya, apakah wajib ke atasnya kaffarah? Jawapannya ialah; ‘tidak wajib’ kerana kafffarah diwajibkan ke atas orang yang membatalkan puasanya dengan jima’ (persetubuhan). Dalam masalah ini, puasa itu batal dengan sebab makan, adapun persetubuhan maka ia berlaku setelah terbatalnya puasa.

B. Membatalkan puasa dengan perbuatan yang lain dari bersetubuh (seperti makan, minum, mengeluarkan mani melalui cara lain dari bersetubuh seperti dengan tangan, menonton filem lucah, berkhayal atau sebagainya)

Tidak ada khilaf di kalangan ulama’ bahawa orang yang membatalkan puasanya dengan makan, minum dan mengeluarkan mani dengan tangan atau sebagainya tersebut, ia wajib mengqadha’kan puasanya itu. Namun apakah ia wajib membayar kaffarah sebagaimana orang yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh tadi? Dalam hal ini terdapat dua pandangan;

Pendapat pertama; Imam Malik, Abu Hanifah, ath-Thauri dan beberapa ulama’ lagi mereka berpandangan; Orang yang sengaja membatalkan puasanya dengan makan atau minum, wajib ke atas mereka Qadha’ dan Kaffarah sebagaimana orang yang sengaja membatalkan puasa dengan bersetubuh. Ini kerana tujuan perbuatan mereka adalah sama iaitu berbuka puasa dengan sengaja (tanpa ada keuzuran yang diakui oleh Syara’) di mana mereka telah mencabul kehormatan puasa dan bulan Ramadhan.

Pendapat kedua; Imam Syafi’ie, Ahmad dan ahli Dzahir berpandangan; yang wajib ke atasnya orang yang membatalkan puasa dengan perkara selain persetubuhan (sama ada dengan makan, minum atau mengeluarkan mani dengan tangan dan sebagainya selain bersetubuh) hanyalah qadha’ sahaja, tidak wajib kaffarah. Ini kerana hadis hanya mengkhususkan kaffarah ke atas orang yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh sahaja.

(Rujuk: Bidayatul Mujtahid, Imam Ibnu Rusyd, jil. 1, hlm. 398 dan al-Majmu’, jil. 6, hlm. 354)

Nota Kaki;

[1] Hanya persetubuhan yang membatalkan puasa sahaja yang mewajibkan kaffarah. Jadi apabila persetubuhan berlaku berulang-kali pada hari yang sama, sudah tentunya persetubuhan kali pertama yang membatalkan puasa. Adapun persetubuhan-persetubuhan yang lain, maka ia berlaku setelah puasa telahpun batal.

OLEH USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Subscribe to this Blog via Email :
Previous
Next Post »

Note: only a member of this blog may post a comment.