Sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin moderat. Dalam melaksanakan tugasnya, beliau tidak bertindak melampau atau ultra. Apa lagi negara kita yang berbilang kaum dan agama.
Garis pemisah antara pemimpin nombor satu kerajaan dan presiden parti adalah jelas dan tidak bersilang. Sebagai pemimpin kepada semua warganegara Malaysia, beliau bersikap adil, bertolak ansur dan inklusif.
Sikap begini adalah selaras dengan teladan yang digariskan oleh Rasulullah SAW sesuai dengan tuntutan semasa dan serasi dengan manusia sejagat. Bersikap moderat bukan bermaksud ambil mudah akan sesuatu perkara dan hanya berserah kepada takdir dan nasib. Sebaliknya, ia lahir daripada ilmu dan prinsip yang hakiki, tahu beza yang mana benar dan batil serta bersikap toleran dan munasabah.
Kejayaan Rasulullah SAW mengembangkan dakwah Islamiah sehingga tertegaknya sebuah negara Islam adalah berasaskan pendekatan yang diamalkannya. Sikap moderat Baginda, misalnya dalam soal ibadah, cukup jelas. Ketika Rasulullah SAW mendengar ada orang berkata, “Aku akan berpuasa selamanya.” Satu lagi berkata, “Aku tidak akan kahwin”. Maka Rasulullah SAW membawa mereka untuk kembali bersikap rasional dan moderat. Baginda bersabda maksudnya: Sungguh, demi ALLAH, aku adalah orang paling takut dan paling bertaqwa kepada ALLAH di antara kamu. Namun, aku berpuasa dan tidak, solat dan tidur, aku juga mengahwini perempuan. Barang siapa tidak suka dengan sunnahku, maka dia bukan termasuk golonganku.” (Riwayat al-Bukhari)
Sikap moderat Rasulullah SAW cukup menonjol dalam hal menjaga kebajikan penduduk Mekah. Dalam kalangan mereka yang baru peluk Islam dan tahap keimanan belum kuat, Nabi SAW bersabda kepada Sayidah Aishah bahawa jika tidak kerana hakikat mereka baru sahaja keluar daripada kepercayaan dan amalan jahiliyah, sudah tentu Baginda akan mengubah Kaabah, mengikut Riwayat Ahmad. Baginda tidak berbuat demikian untuk menjaga hati penduduk di situ. Beliau tumpu kepada melaksanakan amanah menyebar agama ALLAH dengan cara baik, atas dasar kasih sayang dan mendekatkan manusia kepada Tuhan mereka.
Dalam berinteraksi dengan golongan berlainan, Rasulullah SAW mengajar umat untuk berprasangka baik. Apabila kalimat Lailahaillallah diucapkan, maka kita tidak boleh berprasangka buruk, malah mesti memberi penghormatan sewajarnya kepada orang yang ucap kalimat itu.
Sebagaimana juga disebutkan dalam hadis. “Apakah engkau membunuhnya setelah ia mengucapkan Lailahaillallah?” Usamah menjawab: “Hai Rasulullah, ia mengucapkan Lailahaillallah setelah melihat pedang di atas kepalanya, kerana ia takut mati.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Kenapa tidak engkau bedah saja hatinya? Celaka engkau, bagaimana sikapmu terhadap Lailahaillallah. Apakah engkau membunuhnya setelah ucapkan kalimat itu?” (Riwayat Muslim)
Dalam satu peristiwa lain, Rasulullah SAW mendengar ada sahabat memanggil sahabat lain begini: “Hai Ibnus-Sauda (anak daripada perempuan hitam).” Maka Baginda menegurnya ketika bertemu. “Engkau, masih melekat dalam dirimu sifat jahiliyah.” (Riwayat Muslim). Abu Dzar faham teguran itu. Beliau pergi menemui Bilal. “Ke sini, aku mengucapkan kata-kata itu kepadamu. Aku salah,” katanya.
“Engkau telah aku maafkan.”
“Oh, tidak. Ini kening dan mukaku. Aku letakkan di tanah. pijakkan kakimu ke mukaku biar kesombongan itu lenyap dari batinku.”
“Aku telah maafkan engkau.”
“Demi ALLAH, aku tidak akan tenang, dan diriku tidak akan tenteram sebelum kau pijakkan kakimu ke pipi dan mukaku... .”
Begitulah secebis kisah untuk renungan kita. Oleh itu, kita harus memahami falsafah kemoderatan yang sebenar, yakni petunjuk ALLAH SWT. Sikap ini dapat menyelamat dan menyucikan kita dari kepentingan sementara, malah jadi lebih seimbang dan yakin.
Note: only a member of this blog may post a comment.