Our Feeds

FIND US ON FACEBOOK

Sunday, 28 February 2016

Unknown

Tragedi 13 Mei uatu strategi politik


Semalam telah genap 43 tahun tragedi berdarah 13 Mei 1969 berlalu. Pelbagai tulisan berkaitan tragedi itu telah dinukilkan sebelum ini oleh ramai penulis dan penganalisis politik serta pakar sejarah. Cuma di ruangan ini, tragedi ini akan dinukilkan dalam bentuk yang berlainan.

Ketika masih di alam persekolahan (1986-1998), kisah ini sering diceritakan oleh orang tua-tua samada datuk nenek atau ibu bapa kita. Perkara yang cukup terlekat dikepala kita sehingga kini adalah 'ketakutan bahawa kalau Cina berkuasa, Melayu akan hilang kuasa'. Cuma ketika itu, agak sukar difahami secara jelas peristiwa itu tercetus dan sebab munasabab ia berlaku.

Namun kini, Tragedi 13 Mei 1969 itu boleh dianggap sebagai suatu strategi licik politik menguasai keadaan untuk meruntuhkan penguasaan sesuatu kuasa politik lain. Ketakutan dijadikan sebagai suatu lembaga hitam yang diresap dalam fikiran bahawa jika bangsa lain berkuasa dan menguasai politik negara, maka akan hilanglah kedaulatan bangsa Melayu di tanahair ini. 

Ia masih terkesan dan masih digunakan oleh pihak gerombolan Umno khususnya kepada blok-blok sokongan mereka yang dibina daripada kelas-kelas masyarakat pertengahan dan bawahan. Ketakutan seperti ini menjadi modal ampuh gerombolan untuk mengekal suatu keadaan yang membayangkan kedudukan mereka sangat-sangat diperlukan sebagai 'pembela agama dan bangsa'. Selagi ia dipegang dan 'didoktrinkan' oleh kelas-kelas masyarakat pertengahan dan bawahan Melayu, selagi itu penguasaan gerombolan Umno mampu dikekalkan. Jika ia pecah, bocor dan terbongkar, ada kemungkinan wadah politik gerombolan Umno bakal ditinggalkan oleh masyarakat ini secara besar-besaran!

Jika dilihat secara tersurat, ia seakan tuduhan rambang tak berbukti. Akan tetapi andainya ia diteliti daripada perspektif ilmu politik, ia adalah suatu hakikat yang berlaku. Mengapa?

Jawapan itu harus dilihat kepada galur masa persejarahan politik negara bermula sebelum merdeka. 

Gerakan HARTAL pada 20 Oktober 1947 dahulu merupakan suatu mogok besar-besaran yang disertai oleh pelbagai kaum di Tanah Melayu ketika itu bagi membantah pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang digubal oleh penjajah British. 

Gerakan mogok raksasa itu telah dianjurkan oleh AMCJA-PUTERA yang terdiri daripada gabungan pertubuhan siasah pelbagai kaum yang bertujuan untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British dan mahukan Perlembagaan Rakyat digunakan oleh negara ini.

Kebangkitan rakyat melalui gerakan AMCJA-PUTERA ini telah mencetuskan kebimbangan pihak British kerana masih berat untuk melepaskan negara ini daripada kawalan mereka. Seandainya kawalan politik dan ekonomi ini diserah kepada AMCJA-PUTERA jika merdeka, British secara halusnya sukar untuk meneruskan penguasaan ekonomi Tanah Melayu yang telah mereka kuasai sejak berabad lamanya. 

Perpaduan politik rakyat Tanah Melayu ketika itu yang digerakkan oleh AMCJA-PUTERA turut menyukarkan penguasaan British ke atas masyarakat Tanah Melayu melalui politik. Dasar Pecah & Perintah yang diamalkan oleh British sejak awal kurun-19 adalah faktor utama penguasaan mutlak mereka dalam politik, ekonomi dan sosiologi masyarakat Tanah Melayu. 

Melalui dasar ini, selagi pengasingan dan pemecahan peranan kaum berlangsung, selagi itulah British akan terus menguasai seluruh kaum. Kaedah inilah yang telah berjaya dijalankan dan dilaksanakan dengan berjaya kini oleh gerombolan Umno ke atas masyarakat peneroka di kawasan-kawasan Felda seluruh negara. Lihatlah penguasaan hak-hak peneroka yang dimanipulasikan oleh gerombolan Umno melalui FELDA. Mana-mana peneroka yang cuba melawan dan enggan bekerjasama dengan Felda akan ditekan dan diugut dengan pelbagai tindakan. Ia adalah contoh terbaik ilmu politik dalam menilai kaedah-kaedah penguasaan politik ke atas sosiologi masyarakat.

Atas faktor kebangkitan 1947 itu, British telah melancarkan 'perang' menangani kebangkitan tersebut dengan melaksanakan perintah DARURAT 1948. Perintah ini telah menghalalkan British untuk menghalang kebangkitan itu. Gerakan AMCJA-PUTERA telah dilihat oleh British sebagai suatu ancaman kepada kekuasaan imprealisme mereka dan telah mengisytiharkan gerakan tersebut sebagai haluan kiri dan pro-komunis. Ramai penggerak dan pimpinan utama gerakan rakyat tersebut telah ditahan oleh British. Langkah itu telah memberi ruang kepada gerombolan Umno untuk berada dihadapan sejarah tanahair sebagai 'pencetus kemerdekaan tanahair' dengan sokongan British.

Secara logika politik imprealisme, tidak semudah untuk melepaskan sebuah jajahan yang mempunyai kekayaan hasil buminya tanpa mengaut sebanyak mungkin hasil tersebut secara halus. Maka British memerlukan sebuah pertubuhan politik atau parti yang mengikut acuannya. Demi melangsungkan agenda pecah & perintah, British menyokong penubuhan parti-parti siasah yang bercirikan perkauman seperti Umno, MCA dan MIC. Parti-parti ini sangat-sangat berbeza dengan gerakan AMCJA-PUTERA yang lebih menjurus penyatuan semua kaum di Tanah Melayu sebagai sebuah bangsa bersatu yang merdeka. 

Malah, pengasas Umno sendiri Dato' Onn Jaafar sendiri pernah mencadangkan keahlian Umno dibuka kepada semua kaum sebagai mengukuhkan solidariti antara kaum. Namun cadangan beliau itu telah mendapat tentangan kuat beberapa pimpinan parti ketika itu. Rasionalnya, Dato' Onn telah melihat jauh kehadapan, bahawa untuk membentuk sebuah negara bangsa yang kuat adalah melalui penyatuan semua kaum. Seandainya cadangan itu diterima, istilah Umno akan berbunyi 'United MALAYA National Organization' atau Pertubuhan Kebangsaan MALAYA Bersatu yang lebih bersifat nasional.

Pilihanraya Umum Negara

Setelah merdeka, Pilihanraya Umum (PRU) pertama negara telah diadakan pada tahun 1959. Gerakan-gerakan politik bukan Perikatan iaitu Front Sosialis, Parti Negara, PAS, Parti Malaya dan PPP bergerak aktif di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

Kemenangan PAS di Terengganu dan Kelantan sehingga membentuk kerajaan negeri menjadi satu saingan kuat kepada politik Perikatan. Begitu juga bertapaknya gerakan Front Sosialis di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. PPP menjadi pasukan pembangkang kuat di Perak.
Ahmad Boestamam
Presiden Front Sosialis & Ketua Pembangkang Parlimen
(1959-1963)


Antara tahun 1961-1965, gerakan tersusun pihak Perikatan melalui akta ISA telah melumpuhkan kekuatan Front Sosialis. Ramai pimpinan utama Parti Buruh dan Parti Rakyat yang membentuk Front Sosialis telah ditangkap atas alasan menjadi agen komunis.

Namun, penangkapan yang bertujuan sebagai menakutkan rakyat untuk menyokong Front Sosialis dan parti-parti lain yang bukan Perikatan masih gagal menghasilkan kemenangan politik kepada Perikatan di Kelantan dan Terengganu yang masih dikuasai oleh PAS. Pada waktu ini jugalah selepas PRU 1964, Perikatan telah menggunakan kaedah membeli wakil rakyat Parti Negara sebagai langkah menjatuhkan kerajaan negeri PAS di Terengganu.

Kemuncak pada PRU 1969, telah menyaksikan barisan pembangkang menyaingi kedudukan dewan undangan negeri seperti di Perak, Kedah, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan dengan menafikan kuasa dua pertiga Perikatan. Manakala di Pulau Pinang dan Kelantan telah dikuasai Parti Gerakan dan PAS.

Kedudukan Perikatan yang genting di Selangor dan Perak telah menyebabkan kebimbangan pihak gerombolan Umno akan kehilangan penguasaan politiknya ke atas negara ini. Ia sebenarnya bukan berkisar kepada penguasaan politik Melayu kerana daripada pihak pembangkang sendiri mempunyai ramai wakil-wakil Melayunya. 

Sudah pasti ketika itu, pakar-pakar strategi dan pemikir-pemikir Umno yang sebelum itu berjaya membentuk kaedah membeli wakil rakyat untuk membentuk penguasaan di Kelantan dan Terengganu telah berperah ilham mencari kaedah politik terbaik bagi menghalang serta melemahkan kedudukan pembangkang.

Maka ilham 'meruntuhkan perlembagaan' tercetus dengan mewujudkan suatu keadaan huru-hara atau kekacaun politik sekaligus mengisytiharkan darurat. Alasan perkauman digunakan iaitu 'kuasa Melayu telah dicabar oleh Cina' dan langkah-langkah provokasi telah digerakkan. Harus diingat langkah-langkah provokasi ini telah dilakukan juga ketika era moden iaitu semasa himpunan Reformasi 1998, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0. 

Sentimen perkauman dibakar dan dimarakkan ke pelusuk negara sebagai menaikkan kemarahan orang-orang Melayu. Khabar-khabar angin mula tersebar dengan tokok tambah cerita yang bersifat perkauman. Akhirnya, cetusan provokasi telah berjaya dan terjadinya pergaduhan besar antara kaum Melayu dan Cina yang telah mengorbankan ribuan nyawa.

Kerajaan Perikatan kemudiannya mengisytiharkan darurat dan parlimen lumpuh. Kemudian Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan. Kuasa Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman tidak  berfungsi sebagaimana biasa dan pentadbiran negara dijalankan sepenuhnya oleh Mageran. 

Peristiwa 13 Mei tersebut telah menyebabkan Tunku Abdul Rahman 'dipaksa secara politik' untuk meletakkan jawatan sebagai PM. Beliau kemudiannya diganti oleh Tun Abdul Razak.

Setelah strategi 'meruntuhkan perlembagaan' negara berjaya, langkah seterusnya adalah menyusun kembali sistem dalam negara. Kesemua parti pembangkang kecuali DAP telah dijemput menyertai pakatan baru yang menggantikan Perikatan iaitu Barisan Nasional. 

Bermula dari tahun 1970, gerombolan Umno melalui Barisan Nasional akhirnya dapat menembusi Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang. Begitu juga keadaannya di Perak yang mana kedudukan politik PPP berjaya dilemahkan. 

Rasionalnya, tanpa Tragedi 13 Mei gerombolan Umno tidak mungkin mampu menghakis sokongan dan kekuatan politik pembangkang khususnya gerakan Front Sosialis, PAS dan PPP. Ia adalah satu strategi politik yang menggunakan alasan perkauman untuk 'membunuh' politik pembangkang secara besar-besaran.

Harus diingat dan dihayati, tindakan darurat mungkin diguna-pakai oleh gerombolan Umno sekiranya kuasa mereka tergugat. Bibit-bibit itu cuba dibangkitkan kembali, tetapi kepesatan teknologi maklumat yang berlaku kini telah membuka minda rakyat. Kematangan memahami politik telah mula menyuburi pemikiran rakyat untuk menolak politik perkauman.

Semoga ia dapat dihindari demi kesejahteraan semua tanpa menggugat keharmonian rakyat.

Subscribe to this Blog via Email :
Previous
Next Post »

Note: only a member of this blog may post a comment.