Tambahan pula kecederaan Anwar itu bukan perkara baharu selepas mengalaminya kira-kira dua tahun setengah lalu, pada masa sama kecederaan tersebut juga tidak mengancam nyawanya.

Seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan berkata, jenis pembedahan yang disyorkan ke atas Anwar itu juga bukannya pembedahan yang luar biasa serta rumit sebaliknya telah menjadi rutin di hospital-hospital negara ini.
“Oleh itu tiada keperluan untuk Anwar ke luar negara bagi menjalani pembedahan jenis ini seperti mana diminta oleh isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Apatah lagi Akta Penjara sendiri tidak membenarkan banduan mendapatkan rawatan di luar negara kecuali di hospital kerajaan di negara ini sahaja,” katanya di sini hari ini.

Malah menurut pegawai kanan itu, kepakaran dan kemahiran yang miliki khususnya di hospital-hospital swasta negara ini turut menggalakkan kedatangan pesakit-pesakit (pelancong perubatan) dari rantau ASEAN seperti Indonesia dan Singapura bagi mendapatkan perkhidmatan pembedahan arthroscopic di Malaysia memandangkan kosnya yang murah serta berkualiti.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, pihaknya tiada masalah jika Anwar mahu membawa pakar bedah dari luar negara syaratnya pembedahan itu perlu dilakukan di hospital kerajaan di sini.

“Apa yang penting sekarang tiada isu berhubung kepakaran, kemahiran dan kemudahan yang terdapat di hospital-hospital kerajaan kita di sini dalam konteks menjalankan jenis pembedahan tersebut. Sekiranya Anwar setuju untuk dibedah, esok juga kita boleh lakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihak panel Kementerian Kesihatan yang dianggotai oleh 17 pakar telah mengadakan beberapa pertemuan dan perbincangan dengan Anwar serta ahli keluarganya.

Ujar beliau, dalam pertemuan-pertemuan itu panel telah mencadangkan beberapa opsyen yang boleh dipilih oleh bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut bagi tujuan untuk merawat kecederaan bahunya. Tiga opsyen itu adalah; rawatan konservatif, pembedahan secara arthroscopic dan prosedur penggantian bahu.

Beliau berkata, kesemua opsyen itu boleh dilakukan di negara ini, namun pihaknya sehingga sekarang masih belum mendapat jawapan daripada Anwar mengenai opsyen yang dipilih bagi tujuan rawatan otot bahunya yang koyak.
“Ketiga-tiga opsyen yang dicadangkan oleh barisan panel ini juga turut dipersetujui oleh seorang pakar ortopedik yang dipilih sendiri oleh Anwar dan keluarganya ketika beliau mahukan pandangan kedua berhubung jenis rawatan yang boleh diberikan,” katanya lagi.

Seperkara lagi beliau berkata, Anwar sahaja yang akhirnya menentukan opsyen yang akan dipilih dan bukan ahli keluarganya, sehingga kini juga tiada permohonan daripada bekas Ketua Pembangkang itu untuk menjalani pembedahan di luar negara.

“Dalam pertemuan terakhir dengan Anwar dan keluarganya pada 28 Oktober kita tawarkan tarikh pembedahan pada 1 November di HKL tetapi anaknya Nurul Izzah menyatakan yang mereka telah mendapat tawaran daripada pakar Amerika Syarikat untuk melakukan pembedahan di negara ini,” katanya lagi.

Berhubung dakwaan Anwar ditempatkan dalam sel yang kotor, beliau menafikan dakwaan itu sebaliknya menegaskan bekas Ketua Pembangkang itu ditempatkan di sel khas (individu) yang bersih serta diberikan beberapa kemudahan tambahan atas faktor kesihatan serta usianya mencecah 68 tahun.

“Disebabkan kecederaan yang dialaminya itu telah mengakibatkan berlaku kekurangan pada fungsi tangan Anwar hingga menganggu aktiviti sehariannya,” katanya lagi.

Beliau berkata, antara kemudahan tambahan yang dinikmati oleh Anwar atas cadangan Kementerian Kesihatan adalah sebuah katil hospital berharga RM5,000 serta diet khas seperti bijirin, susu rendah lemak dan madu.

“Anwar juga diberi pakaian berwarna putih yang dibuat daripada material khas kerana beliau tidak mahu memakai pakaian banduan biasa. Beliau juga diberikan kipas dinding, mandian pancuran, langsir bilik mandi, meja dan kerusi serta dibenarkan membawa masuk buku daripada perpustakaan penjara ke dalam selnya.

“Selnya ada tingkap dan ruang untuk Anwar berjalan-jalan sekitar 50 meter. Sel ini juga pernah didiaminya sebelum ini. Berdekatan dengan selnya ada padang yang membolehkan Anwar melakukan aktiviti sukan seperti berjoging,” jelasnya.