• Nurul IzzahNurul Izzah
 1 / 1 
BUKIT MERTAJAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata pucuk pimpinan Pas tetap menyokong PKR walaupun berlaku protes dari segelintir ahli Pas terhadap PKR.

"Kami mendapat arahan sangat jelas daripada hierarki Pas yang kesemua pucuk pimpinan Pas menyokong penuh kami dan kami tidak mahu membangkitkan lagi perkara ini," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau diminta mengulas protes senyap ahli Pas terhadap PKR pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Parlimen Permatang Pauh.

Semalam kira-kira 10,000 anggota yang didakwa mewakili Pemuda Pas mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Batu, Kampung Pertama, Permatang Pauh bagi mendesak Angkatan Muda Keadilan dan DAP menarik balik dakwaan menghina terhadap Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu hudud.

Terdapat Pemuda Pas kawasan yang mengeluarkan kenyataan mereka tidak akan menyokong calon PKR di Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Nurul Izzah berkata, PKR akan merujuk kepada kenyataan rasmi Pas yang telah dikeluarkan bagi menyokong calon PKR dalam PRK itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin menafikan kumpulan yang berdemonstrasi itu sebagai ahli Pas.

Beliau berkata, bahagian Pas telah menghantar mesej kepada pihaknya bagi  memberitahu perkara itu.

"Kami akan minta mereka tentukan perkara itu dan menyelesaikannya," katanya. - Bernama