Our Feeds

FIND US ON FACEBOOK

Wednesday 24 August 2016

Unknown

Rosmah: Malaysia pertama di dunia belajar sains seawal usia 2 tahun


Malaysia merupakan negara pertama menganjurkan Perkhemahan Sains Kanak-Kanak 2016 untuk kanak-kanak seawal usia 2-4 tahun pada November ini, kata isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah yang merupakan penaung Program Permata Negara berkata melalui perkhemahan itu, peserta perlu menjalani ujian Skala Kepintaran Kanak-Kanak Permata (PCIS) yang menilai kebolehan kognitif kanak-kanak berkenaan.

Rosmah berkata ujian PCIS yang dibangunkan tahun lalu adalah untuk mencari lebih ramai kanak-kanak pintar dan berbakat pada usia itu dari seluruh negara.

“Ujian IQ (Intelligent Quotient atau tahap kepintaran) awal dijalankan ke atas 1,470 kanak-kanak daripada 82 taska Permata seluruh negara dan 20 daripada mereka dikenal pasti mempunyai kebolehan kognitif sederhana tinggi

“Dan seorang kanak-kanak pula didapati mempunyai kebolehan kognitif dikategorikan sebagai sangat tinggi,” katanya pada sidang media pelancaran program Perkhemahan Pintar dan Berbakat Permata Negara di sini, hari ini.

Menurut Rosmah, kanak-kanak tersebut dikumpulkan dalam satu perkhemahan sains pada Disember lalu di Pusat Permata Pintar, untuk membantu kanak-kanak pintar dan berbakat membina kebolehan dan minat mereka terhadap pembelajaran sains.

“Pemerhatian yang dilakukan oleh guru semasa perkhemahan menunjukkan bahawa kanak-kanak pintar itu menunjukkan minat yang tinggi terhadap persekitaran pembelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Dalam pada itu, Rosmah berkata kanak-kanak berumur 2-4 tahun itu boleh mengambil ujian secara dalam talian di laman pcis.upsi-ukm.edu.my di rumah masing-masing atau di taska selama 2 bulan bermula 27 Ogos ini.

“Kanak-kanak yang berjaya mencapai skor pintar PCIS akan dipelawa menghadiri Perkhemahan Sains Kanak-Kanak 2016 itu selama 5 hari pada November ini dan akan didedahkan dalam bidang biologi, kimia, kejuruteraan, fizik dan forensik.

“Saya berharap usaha ini bukan sahaja dapat membantu mengenal pasti anak-anak pintar dan berbakat tetapi juga mengenali keperluan pendidikan mereka dengan lebih awal,” jelasnya.
Katanya perkhemahan itu akan dijalankan di 5 pusat mengikut zon iaitu zon utara (Alor Setar, Kedah), zon tengah (Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak), zon selatan (Kolej Permata Pintar, Selangor), zon timur (Kuala Terengganu) dan Sabah-Sarawak (Kuching).

Rosmah menambah perkhemahan itu adalah berbentuk harian dan ibu bapa perlu menghantar anak-anak mereka di waktu pagi dan mengambil mereka semula di waktu petang, manakala penginapan disediakan bagi mereka yang datang dari jauh.

“Lazimnya kita akan menerima 250,000 hingga 300,000 penyertaan dan daripada itu, hanya 700 hingga 800 kanak-kanak yang layak di bawah kategori pintar dan berbakat.

“Setiap zon, kita akan memilih 20 atau 30 kanak-kanak untuk sertai program itu,” katanya.
Rosmah turut memaklumkan program Permata akan memperkenalkan kokurikulum baharu melibatkan pembelajaran STEM mulai tahun hadapan bagi mencungkil bakat dalam bidang berkenaan pada usia muda.

Beliau turut berkongsi kejayaan 16 pelajar Pusat Permata Pintar UKM mendapat tempat di beberapa universiti ternama di Amerika Syarikat melanjutkan pengajian dalam pelbagai jurusan yang terpilih dan diperlukan negara.

Selain itu, katanya dua pelajar yang menamatkan ijazah akan meneruskan pengajian peringkat doktor falsafah di Universiti Oxford dan Universiti Princeton manakala tiga lagi akan mengikuti kursus ijazah sarjana di Universiti Edinburgh.

Subscribe to this Blog via Email :
Previous
Next Post »

Note: only a member of this blog may post a comment.